Jumaat, 20 Februari 2009

Anak Jantan Ayah


  1. Ini cerita anak Jantan aku yang bakal dilahirkan ku kira April ini.

  2. 10 Februari lepas, atas tugasan Jabatan, aku ke Kuching Sarawak, dan aku sebenarnya menjangkakan dan telah pun dijadualkan pulang setelah selesai tugasan disini pada hari ketiga di Kuching.

  3. Menjelang petang 10 Februari, aku pun menyusur ke luar hotel penginapan menikmati suasana petang di tebing Sungai Sarawak bersendirian, sambil menanti lain-lain rakan sampai.

  4. Sekitar jam 6.30 petang, sedang aku bersama beberapa rakan lain sedang melewati kedai-kedai dekat-dekat situ, telefon aku berdering, panggilan isteriku dari Putrajaya.

  5. Ku dengar suaranya jauh tersekat di kerongkong dan sedikit sebak dan mengucar-ngacirkan degupan jantung ku seketika.

  6. "Ayah, Ummi kena masuk hospital petang nie jugak, Doktor Klinik Precint9 dah bagi surat refer Ummi ke Hospital, tak boleh tangguh lagi, plasenta ada kat bawah, Tahap 4"...yang membawa maksud sebarang pergerakan oleh janin memungkinkan berlaku pendarahan dan akan membahayakan ibu dan janinnya.

  7. Apa yang terlintas pada waktu itu, hanyalah Ibu Mertua di Melaka, agar segera sampai ke Putrajaya secepat yang boleh, bagaimanapun atas lain-lain halangan, terpaksa ditangguhkan keesokannya pulak, lalu makin sempit dan senak rasanya aku di Kuching. Langsung isteriku juga aku minta bertahan di rumah sehingga keesokkannya sementara aku terus menanti dengan perasaan bimbang dan resah yang merusuh sehingga dingin di kamar terasa panas menghembus...aduhh.

  8. Meredakan kegemparan, aku cuba memujuk Ummi agar bertenang dan cuba berehat selama mungkin tanpa memikirkan situasi ini, walaupun aku sendiri terasa bagai mahu melompat ke perahu golek yang ditambat di tebing Sungai mengayuh balik ke Semenanjung.

  9. Menjelang pagi 11 Februari, aku terus menyuarakan kepada Ketua Rombongan kerja ku yang aku perlu balik ke Kuala Lumpur pada hari ini juga memandangkan kondisi isteriku di Putrajaya.

  10. Alhamdulilillah, berkat doa, aku berjaya mendapatkan tiket pulang seawal 12.45 tengahari ke KLIA.

  11. Pagi itu juga, aku minta agar isteri cuba dapatkan pertolongan jiran menghantarnya ke Hospital sementara menantikan aku sampai ke Putrajaya pada waktu terjadual.

  12. Sesampai aku di Lapangan Terbang Kuching, panggilan dari isteriku menambah rusuh seketika. Berita dari Hospital Putrajaya sangat mengejutkan aku, plasentanya dah naik semula ke atas dan berada dalam keadaan normal.
  13. Ajaib punya budak, memang dia tak mau bagi ayah dia berjalan jauh-jauh la kot...