Selasa, 3 Mac 2009

Ais Krim Malaysia

Salam,
  1. Sabtu lepas, 28 Februari, anak yang sulong ada temasya sukan sekolah. Sebagai ayah yang baik (pada perkiraan aku sendiri) maka aku pun hadir bersama untuk memeriahkan program di Sekolah.
  2. Tak banyak yang aku nak ceritakan pasal acara sukan sekolah ni, tapi pasal Ais Krim Malaysia.
  3. Seusai acara anak sulong ku, kami sekeluarga bersantai di kantin sekolah, dan merengek-rengeklah si anak mintakkan Ais Krim Malaysia.
  4. Seronok melihat telatah kedua-dua Puteri ku, aku tersentuh seketika bila mana si sulung dan adeknya minta bukakkan bungkusan ais krimnya, sambil merengus-rengus tidak sabar nak menikmati.
  5. Lalu aku teringat akan Seni sebenar nak makan Ais Krim Malaysia nih, mula-mula kena gigit kat penghujung tangkai, sedut airnya perlahan-lahan, batangnya tak boleh dipegang keras-keras, takut memancut airnya....bla..bla..bla..ngomel aku.
  6. Rupanya, kita dulu semasa kecik (kalau kat kawasan perkampungan aku hari-hari budak-budak menggongong Ais Krim Malaysia) dah memang belajar dan diajar secara perlahan untuk sentiasa bersabar dalam melakukan sesuatu termasuklah semasa nak makan Ais Krim Malaysia. Setiap satu benda yang nak kita buat perlu dilaksanakan ikut keadaan (kalau ais keras, bolehlah pegang kuat-kuat, tapi kalau ais belum masak, kena pegang lemah lembut masa nak gigit, kalau tak memancut air kena baju, tak pun tumpah semua ke tanah)..
  7. Jom pekena ais krim Malaysia...

Jumaat, 20 Februari 2009

Anak Jantan Ayah


  1. Ini cerita anak Jantan aku yang bakal dilahirkan ku kira April ini.

  2. 10 Februari lepas, atas tugasan Jabatan, aku ke Kuching Sarawak, dan aku sebenarnya menjangkakan dan telah pun dijadualkan pulang setelah selesai tugasan disini pada hari ketiga di Kuching.

  3. Menjelang petang 10 Februari, aku pun menyusur ke luar hotel penginapan menikmati suasana petang di tebing Sungai Sarawak bersendirian, sambil menanti lain-lain rakan sampai.

  4. Sekitar jam 6.30 petang, sedang aku bersama beberapa rakan lain sedang melewati kedai-kedai dekat-dekat situ, telefon aku berdering, panggilan isteriku dari Putrajaya.

  5. Ku dengar suaranya jauh tersekat di kerongkong dan sedikit sebak dan mengucar-ngacirkan degupan jantung ku seketika.

  6. "Ayah, Ummi kena masuk hospital petang nie jugak, Doktor Klinik Precint9 dah bagi surat refer Ummi ke Hospital, tak boleh tangguh lagi, plasenta ada kat bawah, Tahap 4"...yang membawa maksud sebarang pergerakan oleh janin memungkinkan berlaku pendarahan dan akan membahayakan ibu dan janinnya.

  7. Apa yang terlintas pada waktu itu, hanyalah Ibu Mertua di Melaka, agar segera sampai ke Putrajaya secepat yang boleh, bagaimanapun atas lain-lain halangan, terpaksa ditangguhkan keesokannya pulak, lalu makin sempit dan senak rasanya aku di Kuching. Langsung isteriku juga aku minta bertahan di rumah sehingga keesokkannya sementara aku terus menanti dengan perasaan bimbang dan resah yang merusuh sehingga dingin di kamar terasa panas menghembus...aduhh.

  8. Meredakan kegemparan, aku cuba memujuk Ummi agar bertenang dan cuba berehat selama mungkin tanpa memikirkan situasi ini, walaupun aku sendiri terasa bagai mahu melompat ke perahu golek yang ditambat di tebing Sungai mengayuh balik ke Semenanjung.

  9. Menjelang pagi 11 Februari, aku terus menyuarakan kepada Ketua Rombongan kerja ku yang aku perlu balik ke Kuala Lumpur pada hari ini juga memandangkan kondisi isteriku di Putrajaya.

  10. Alhamdulilillah, berkat doa, aku berjaya mendapatkan tiket pulang seawal 12.45 tengahari ke KLIA.

  11. Pagi itu juga, aku minta agar isteri cuba dapatkan pertolongan jiran menghantarnya ke Hospital sementara menantikan aku sampai ke Putrajaya pada waktu terjadual.

  12. Sesampai aku di Lapangan Terbang Kuching, panggilan dari isteriku menambah rusuh seketika. Berita dari Hospital Putrajaya sangat mengejutkan aku, plasentanya dah naik semula ke atas dan berada dalam keadaan normal.
  13. Ajaib punya budak, memang dia tak mau bagi ayah dia berjalan jauh-jauh la kot...


Sabtu, 24 Januari 2009

Pasar Payang Kuala T' Ganu

Salam,

  1. Memula sekali aku nak ucapkan tahniah buat Y.B. MP Kuala Terengganu yang baru. Ikhlas ni, dan aku adalah seorang neutral, so tak perlu mencemik kalau terbacakan aku punya catatan kat sini. Tapi tue bukan lah sebab kenapa aku menulis dalam posting nie...
  2. Aku sebenarnya baru kembali dari Kuala Terengganu, salah sebuah bandar di Negeri Timur, yang aku saksikan kali terakhir mungkin setahun lalu, dan kali ini sewaktu menyusuri jalan ke hotel penginapan aku terpegun.
  3. Ternyata pada kali ini, pengalaman itu sedikit berbeza. Kelihatan bezanya benar-benar mengaharukan sedikit, segalanya kelihatan tersusun dan sekitarnya juga aku lihat bersih dan terpelihara jalan-jalannya dari sampah dan segala kotor.
  4. Tapi, itu pun bukan apa yang aku nak catatkan.
  5. Apa yang aku nak tulis sebenarnya adalah catatan pengalaman aku ke Pasar Payang, yang sekian lama namanya gah, sebagaimana Pekan Rabu di Alor Setar atau Pasar Siti Khadijah di Kota Bahru.
  6. Petang itu bukan niat pun nak bershoping atau apa, sekadar menjamu mata dan melihat-lihat apa yang mata ingin melihat. Terpaku ke hamparan toto kecil yang ku kira ole-ole untuk bakal anak kecil ku nanti, aku pun melangkah ke dalam kedai dan berlagak kononnya aku pun orang Ganu.
  7. Usai tawar menawar, aku terkesan akan sedikit sebanyak loghat Utara dari Kakak penjual tadi. Sambil menanti waktu, aku minggir ke depan kedai sambil memerhati dan mengasah telinga mendengar, lebih tepat lagi cuba mengenal pasti betulkah tidak telahan aku.
  8. Ternyata benar setelah Kakak Penjual tue aku tanyakan. Terkedu aku seketika, memikirkan yang Kakak yang pada pandangan aku seusia ibu saudara aku, dan hampir separuh abad umurnya.
  9. Asalnya dari Tanjung Dawai, Sungai Petani, Kedah Negeri Kelahiran aku, dan sudah seusia aku bermastautin di Kuala Terengganu. Terpegun dan bangga sebenarnya aku akan kakak yang ku lihat lemah lembut orangnya yang mampu hidup dan menguruskan kehidupan di tanah asing. Bukan apa, cuma aku tertanya-tanya sudahkah pada tahun-tahun yang mana kita rakyat Malaya baru mula mengenal wayang pacak Jabatan Penerangan sudah berkahwin dengan pasangan yang jauh negerinya.
  10. Sudah namanya jodoh, bak kata pepatah Melayu, "Asam didarat, Ikan dilaut, dalam belanga bertemu juga".

Sabtu, 17 Januari 2009

Perjalanan Seorang Ayah

Salam,
  1. Rabu lalu, 14 Januari 2009, satu panggilan telefon dari Ayah telah mengejutkan aku. Jam 10.30 pagi, sedang meladeni seorang anggota baru yang telah lama melaporkan diri. Seorang warga JPJ, Kg. Jawa (rasanya Amran kenal kot), telah menyentap sebahagian besar dari perhatian aku pada kerja yang telah aku rancangkan.

  2. Ayah dan Emak kemalangan. Lebih tepat lagi kejadian sudah dua hari lalu, bermakna telah dua hari juga aku ditinggalkan tanpa makluman atau apa sahaja berita. Mungkin salah aku jugak, sedang pada keadaan biasa, aku sering juga sekurang-kurangnya berselang 2 hari akan aku buat panggilan ke kampung, sekadar bertanyakan khabar dan berbasa basi dengan orang tua. Aku tetap buat keputusan untuk balik menjengah kedua-duanya malam itu jugak.
  3. Malam itu, perjalanan dari Putrajaya ke Pudu terasa panjang, walaupun hanya bertukar 2 tren dari kawasan kediaman aku. Dan dalam perjalanan panjang aku di perut bas Trans.... malam itu, aku terbayang kan bagaimana susah payah jerih Ayah dan Emak membesarkan aku dalam keadaan kekurangan yang berbagai, bangun malamnya, jerih mencarikan aku sesuap dua nasi, jerih payah mencarikan aku belanja sekolah dari umurku 7 hinggalah ke UUM Tahun 1996 lalu.
  4. Memang malam di perut bas menyakitkan, terasa beku, sambil aku tetap cuba sebaiknya melelapkan juga mata, demi tenaga esok yang aku simpan untuk bertemu Ayah dan Emak di Alor Setar. Dan setelah hampir 7 jam dalam perut bas yang beku, aku pun terjaga di Hentian Gurun, jam 4.00 pagi. Lalu aku terus menyusur jauhnya perjalanan yang Ayah dan Emak jalani untuk meneruskan hidup dan kehidupan seorang memanusiakan manusia bernama Aku.
  5. Alhamdulillah, segala nya dalam jangkaan aku, syukur buat Tuhan yang telah memelihara kedua-duanya, dan semoga diberikan rahmat dan kasih sayang berpanjangan buat kedua-duanya.
  6. Perjalanan pulang aku ke Putrajaya pada malam Jumaat kemudiaannya pula aku anggap sebagai satu lagi fasa perjalanan hidup aku sendiri sebagai seorang Ayah kepada Aina dan Auni.
  7. Memanglah jerih dan payah perjalanan aku pada malam itu, tapi tidak sejerih dan payah membeku di dalam perut pesawat. Sekurang-kurangnya perjalanan aku cuma memakan sejam perjalanan dan perjalanan pendek, sependek sebatang rokok, aku pun sampai ke tanah kelahiran anak-anak ku.
  8. Lalu aku banding-bandingkan perjalanan ini, memang jauh berbatu apa yang Ayah & Emak aku lalui dulu dalam memanusiakan aku hari ini dengan perjalanan sesudah aku sudah menjadi manusia kini (manusiakah aku?).....